11/13/08

GABUNG SIVIL DAN SYARIAH


Undang-undang lazim dan undang-undang syariah di negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam boleh diharmonikan melalui penggabungan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, pendekatan itu mampu direalisasikan kerana hakim yang sama boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan syariah manakala peguam bukan Islam berhujah mengenai isu yang melibatkan undang-undang syariah.

Kata beliau, pengharmonian undang-undang itu boleh menjadi kenyataan kerana kini pakar yang bukan beragama Islam sudah lama menceburkan diri dalam bidang perbankan, kewangan dan takaful Islam.

‘‘Hasilnya penguatkuasaan undang-undang syariah dalam perbankan Islam berjaya mewujudkan banyak produk berasaskan Islam termasuk akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit, takaful dan sukuk yang tidak pernah dibayangkan kewujudannya 50 tahun lalu.

‘‘Dengan ini, penentuan sama ada undang-undang syariah itu sebenar-benarnya berlandaskan Islam, maka sesebuah negara tidak seharusnya berundur ke belakang untuk melihat perbezaannya,” katanya ketika membentangkan syarahan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Harvard baru-baru ini.

Beliau dijemput menyertai program Pengajian Undang-Undang Islam bagi membentangkan syarahan Al-Razzaq Al-Sanhuri bertajuk ‘Mengharmonikan Undang-Undang Lazim dan Undang-Undang Syariah di Malaysia: Satu Pendekatan Praktikal’.

Abdul Hamid turut menegaskan, beliau percaya perkembangan sama boleh berlaku tanpa prejudis di negara-negara yang majoritinya umat Islam.

Menurut beliau, di Malaysia, undang-undang syariah mengambil pendekatan dengan menyerapkan undang-undang sivil asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsipnya.

Abdul Hamid turut menarik perhatian bagaimana konflik timbul apabila sesuatu isu melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah tetapi salah satu pihak merupakan bukan Islam (yang mana mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakannya), mahkamah mana akan mendengarnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mahkamah mana yang akan membicarakan sesuatu kes apabila isu yang dihujahkan terletak di bawah bidang kuasa kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Selain itu, Abdul Hamid juga membuka satu persoalan lain iaitu mahkamah mana yang harus mendengar kes yang dibicarakan di mahkamah syariah yang turut mengandungi isu-isu perlembagaan.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan menggabungkan dua sistem mahkamah yang mana kes-kes sivil akan didengar oleh hakim sivil dan sebaliknya.

‘‘Apabila kes itu melibatkan kedua-dua isu sivil dan syariah, ia harus didengar oleh dua hakim iaitu hakim sivil dan syariah,” katanya.

Dalam melontarkan pandangannya itu, beliau turut melihat ketidakseragaman dalam lingkungan undang-undang syariah sendiri kerana ia melibatkan mazhab.

‘‘Kita tahu salah satu sebab yang membawa kepada perbezaan pendapat di antara Imam Maliki dan Imam Abu Hanifah adalah kerana faktor geografi.

‘‘Kini tidak lagi kerana segala maklumat mengenai fakta atau undang-undang boleh dinilai oleh semua pihak dalam tempoh yang singkat.

‘‘Keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa di Asia Barat, Eropah atau di mana-mana sahaja boleh diketahui oleh ulama serata dunia apatah lagi adat resam kini lebih bersifat global,” jelasnya.

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online