11/13/08

NAJIB DAH HAPUSKAN HAK BUMIPUTRA?



Najib telah memutuskan untuk membenarkan syarikat yang mempunyai penyertaan ekuiti bumiputera yang kurang 30 peratus untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, kelonggaran yang berkuatkuasa serta-merta itu diberi bagi memastikan pasaran modal di Malaysia terus berdaya saing dan kompetitif.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan jelas beliau, harus melalui beberapa langkah dan syarat tertentu serta perlu melalui proses semak semula.

Beliau berkata demikian kepada [pemberita] ketika membuat lawatan ke Suruhanjaya Sekuriti di sini hari ini.

Sebelum ini, MCA telah mencadangkan agar 30% kuota bumiputra dalam pemilikan ekuiti bagi syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dikaji semula.

Cadangan tersebut telah mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin UMNO yang menganggap cadangan MCA itu sebagai melampau serta bertentangan dengan semangat DEB yang mahu membantu kaum bumiputra di negara ini.

Bagaimanapun, Najib sebelum ini yang telah meluluskan pinjaman sebanyak RM 5 billion kepada Valuecap atas alasan meningkatkan kembali nilai pasaran saham di negara ini telah membuat kenyataan terbuka untuk menghapuskan DEB secara beransur-ansur, selaras dengan dasar liberalisasi yang ingin diperkenalkannya.

Tindakan Najib itu telah mendapat reaksi daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mula bimbang peranan ‘budak tingkat 4’ Najib dan meminta Najib berhati-hati agar dana besar yang dimiliki oleh KWSP tidak dimanipulasikan oleh ‘pihak-pihak’ yang tidak bertanggungjawab.

Sejak Najib dilantik sebagai Menteri Kewangan melalui pelan peralihan kuasa yang dicadangkan Abdullah Badawi, beberapa tindakan yang diambilnya telah menimbulkan kontroversi seperti harga tender pembelian Eurocopter, pinjaman RM 5 billion kepada Valuecap dan juga pengurniaan tender terus broadband kepada TM.

Keputusan Najib untuk memberikan kelonggaran ke atas syarat pemilikan ekuiti Bumiputra hari ini dilihat sebagai taktik terbarunya untuk mendapatkan kembali sokongan pengundi bukan Melayu selain menggalakkan syarikat-syarikat baru disenaraikan di Bursa Malaysia.

Berita dan ulasan penuh akan menyusul kemudian.

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online