10/21/08

Rumah termahal di dunia..sekadar ingin tahu








KOS pembinaan rumah jutawan petrokimia India , Mukesh Ambani setinggi 27 tingkat di Altamount Road , Mumbai melampaui belanjawan membina hotel ternama dan dikenal pasti rumah termahal di dunia. 'Istana' yang dinamakan Antilla itu dijangka siap awal tahun depan.
NITA Ambani bukan sembarangan wanita, dia adalah isteri jutawan petrokimia tersohor Mumbai sekali gus peneraju Reliance Industries, Mukesh Ambani. Sehingga Mac tahun ini, Mukesh dengan anggaran aset RM142 bilion (AS$43 bilion) dinobatkan laman web Forbes lelaki kelima terkaya di dunia. Sebagaimana wanita lain di dunia, Nita cukup bertuah kerana suaminya sanggup membina kediaman mewah dan selesa 27 tingkat bernilai RM6.6 bilion (AS$2 bilion) buat diri dan tiga anaknya. Tanggungjawab membina rumah impian Nita dan suaminya itu diamanahkan sepenuhnya kepada firma arkitek Perkins + Wills and Hirsch Bedner yang sebelum ini diakui kebolehan mereka melalui pembangunan Mandarin Oriental Dallas dan Los Angeles .


Pengarah Pemasaran Hirsch Bedner Associates, Thomas Johnson, berkata arkitek dan juru hias dalamannya bertungkus lumus menyiapkan pelan lantai, memikirkan reka bentuk seterusnya menentukan konsep serta tema bangunan. Pembinaan kediaman mewah di Altamount Road, Mumbai di atas tapak tanah seluas 4939.81 meter persegi bermula penghujung 2006 dan dijangka siap untuk diduduki pada September 2008. Bangunan pencakar langit seperti istana itu digelar Antilla bersempena nama sebuah pulau sarat mitos. Kos pembinaannya melampaui belanjawan membina hotel ternama dengan setiap tingkat ditampilkan ukuran, bahan dan struktur seni bina berbeza meliputi lantai, lampu, pintu, bingkai tingkap dan sebagainya. "Sekiranya aras sembilan menitipkan kemasan logam dan kayu disulami sentuhan kristal, tingkat 11 tidak akan mengetengahkan unsur itu lagi. Ini permintaan Nita yang mahukan pertembungan konsep dengan elemen seni bina bagi ruang konsisten tanpa ada pengulangan gaya ," kata pakar hiasan dalaman Hirsch Bedner Associates.


Struktur seni bina berkenaan dibentuk menerusi prinsip Vaastu yang boleh disamakan dengan feng shui. Matlamat utamanya untuk mendapatkan aliran pergerakan sihat ruang berpandukan susun atur strategik bilik, objek dan kemasan. Kuarters keluarga yang memuatkan sebuah lobi dan menghimpunkan sembilan lif, beberapa bilik penyimpanan serta ruang bersantai terletak di aras tujuh selepas enam tingkat tempat meletak kereta untuk 170 lot parkir. Sebaik menuruni dua sayap tangga dengan selusur bersepuh perak, tetamu bertemu dewan tari menari berhias siling kristal. Ruang ini menjadi wadah seni menerusi sisipan monitor LCD lengkap sistem pembesar suara selain dibina sebuah pentas pertunjukan. Sesuai statusnya sebagai usahawan ternama, Mukesh sering menganjurkan majlis korporat di kediamannya. Namun, pandangan isteri dan anak-anak yang menginginkan gaya penataan menggambarkan akar umbi bangsa tidak diabaikan. Buktinya, sinki yang dibina memanjang dari ruang santai berlanjutan ke ruang hiburan dilengkapi pawagam dan stor wine direka menyerupai daun gingko, spesies tumbuhan yang dekat dengan masyarakat India . Saliran paipnya menampilkan rekaan mirip batang daun yang 'menjalar' hingga ke sinki. 'Health level', aras yang dikhususkan untuk sukan dan riadah menempatkan patio, kolam renang, gimnasium dan studio yoga. Pasangan Ambani memenuhi kawasan patio dengan pelbagai spesies pokok tempatan. Aras ini juga menyediakan bilik berais khusus kegunaan penghuni dan tetamu melarikan diri dari bahang cuaca kota Mumbai. Menariknya, bilik sejuk ini menawarkan pengalaman berada di negara empat musim apabila disertakan hujan salji buatan manusia. Pada ketika cuaca nyaman, Ambani sekeluarga berpeluang menghirup udara segar yang ditawarkan empat tingkat landskap terbuka. Kayu yang menguatkan alang dan menyokong dua pertiga bahagian atas bangunan berbentuk 'W' mengilhamkan atrium terbuka untuk taman dan halaman. Landskap hidroponik dan pokok bersifat kekal elemen paling rumit direalisasikan namun kewujudannya didorong dengan sebab. Keupayaan tumbuh-tumbuhan menyerap cahaya matahari dimanfaatkan menjadi sumber tenaga yang boleh diubahsuai merujuk keperluan. Menerusinya, suasana kediaman pada musim panas boleh menjadi dingin manakala ketika cuaca sejuk, suhu menyamankan tubuh. Empat tingkat teratas dijadikan ruang peribadi Ambani sekeluarga termasuk ibunya, Kokilaben. Istimewanya ruang ini kerana menampilkan pemandangan Laut Arab dan seluruh kota Mumbai. Menurut Penolong Jurutera BMC, syarikat yang bertanggungjawab mereka pelan cadangan bagi pembinaan bangunan ini, kira-kira 600 pekerja bakal digajikan Mukesh bagi membersih, menjaga dan menyelenggara kediamannya. Antilla atau Antillia adalah pulau puaka yang dipercayai berada di tengah Lautan Atlantik di barat Sepanyol. Nama lain pulau mistik ini adalah Isle of Seven Cities, Ilha das Sete Cicades (bahasa Portugis), Septe Cicades, Sanbrandan atau St Brendan dan sebagainya. Nama asalnya tidak diketahui. Etimologi tertua dikeluarkan pada 1455 menghubung-kaitkan nama itu dengan platonik Atlantis, manakala versi terkemudian mengaitkannya dengan Jezirat Al Tenny, "Pulau Naga", disebut Pulau Naga oleh ahli geografi Arab. Legenda pulau bermula pada 74 Tahun Masihi apabila Quintus Sertorius, komander tentera dan konsulat Sepanyol yang baru pulang dari medan pertempuran Mauretania (Utara Maghribi) bertemu kelasi berpengalaman singgah di pulau Atlantik. Teruja dengan cerita kelasi berkenaan, Sertorius memasang tekad mencari pulau terbabit sebelum mengambil keputusan menetap di situ. Fakta Menarik Antilla
· Merujuk pelan, bangunan ini menawarkan ketinggian 173.12 meter bersamaan ketinggian bangunan 60 tingkat. Namun, disebabkan Antilla memperuntukkan 27 tingkat, ini bermakna setiap arasnya dilengkapi siling berketinggian lebih tiga meter daripada ukuran sepatutnya.
· Enam tingkat tempat meletak kereta bakal memuatkan 170 kereta import tuan rumah. Turut disediakan pusat servis kereta yang ditempatkan di aras tujuh.
· Tingkat lapan mengandungi pusat hiburan lengkap mini pawagam dengan kapasiti 50 orang pada satu masa.
· Dua tingkat di atas 'health level' menempatkan unit pangsapuri berdinding kaca untuk penginapan tetamu.
· Dua tingkat di atas kediaman keluarga diperuntukkan sebagai kawasan penyelenggaraan. Di atasnya pula, disediakan 'ruang udara' berfungsi sebagai bilik kawalan untuk helikopter mendarat.

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online