11/11/08

Pengebumian pengebom Bali kecoh

Petikan KOSMOS/ALP

KEPILUAN dan kemarahan meruap-ruap diterjemahkan menerusi laungan balas dendam berkumandang ketika jenazah Amrozi dan Mukhlas tiba di desa Tenggulun, Jawa Timur semalam.

Dua beradik itu menjalani hukuman mati kerana pembabitan mereka dalam kejadian letupan di Bali pada tahun 2002.


Sekumpulan kira-kira 500 penyokong bertempur seketika dengan pasukan polis berhampiran rumah keluarga Allahyarham Amrozi, 47, dan Mukhlas, 48.

Adik beradik itu menjalani hukuman mati oleh skuad penembak bersama-sama rakan mereka, Imam Samudra sejurus selepas tengah malam di sebuah pulau di selatan Jawa yang dijadikan penjara.

Sebelum itu, ketiga-tiga pemuda itu menyatakan hasrat untuk mati syahid dan menegaskan bahawa mereka tidak sekali-kali menyesal melakukan serangan tersebut.

Orang ramai mula mengalirkan air mata dan melaungkan "Allahu Akbar!" apabila terlihat kelibat dua ekor burung terbang melepasi kampung mereka ketika helikopter yang membawa jenazah Amrozi dan Mukhlas mendarat di sebuah padang berdekatan.

"Tuhan maha besar, Tuhan maha besar, Tuhan menunjukkan kebesarannya. Saya sungguh gembira," jerit seorang penyokong mereka yang menangis teresak-esak apabila melibat burung-burung itu.

"Ini adalah limpah kurnia Tuhan. Mujahidin akan terus berjuang!," laung seorang lagi peserta perhimpunan itu sambil menangis.

"Sudah tentu mereka syahid. Mereka berjuang keras di atas nama Islam tetapi akhirnya menemui ajal. Namun, kematian bukan bererti mereka tewas - mereka tetap menang sebenarnya," kata seorang lagi penyokong yang enggan mendedahkan namanya.

Orang ramai berhimpun di jalan-jalan di luar kediaman keluarga Amrozi dan berpusu-pusu mengelilingi dua buah ambulans yang membawa jenazah dua beradik itu dari helikopter sebelum bergelut dengan anggota-anggota polis tentera yang berkawal di sekitarnya.

Jenazah Amrozi dan Mukhlas dibawa ke sebuah masjid di desa itu untuk disembahyangkan sebelum dibawa melepasi kumpulan kira-kira 1,000 orang yang mengerumuni kawasan lokasi tersebut untuk melihat lebih dekat.

Di bandar Semerang, Jawa Barat, jenazah Imam Samudra disemadikan dengan segera selepas senario sama tercetus apabila jenazahnya yang ditutup kain hitam yang tertera ayat-ayat suci Al-Quran diarak di beberapa jalan.

"Kemungkinan besar akan ada tindakan balas. Apa yang jelas ialah darah saudara Islam tidak akan tumpah sia-sia. Akan ada akibatnya," kata Ganna, 26, yang mengharungi perjalanan 90 kilometer dari Jakarta untuk menunjukkan sokongannya.

Adik beradik itu dan Imam Samudra menyatakan mereka melancarkan serangan bom keatas beberapa kelab malam yang penuh sesak dengan pengunjung di pulau Bali untuk mempertahankan Islam dan membalas dendam pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) di bumi Afghanistan.

Mereka merupakan anggota kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang dipersalahkan kerana mendalangi serangan-serangan bom di rantau tersebut sebagai usaha membentuk pemerintahan khalifah Islam di Asia Tenggara.

Kebanyakan penduduk Indonesia mengamalkan ajaran Islam secara sederhana dan majlis ulama Indonesia semalam menyatakan kematian ketiga-tiga pengebom itu tidak boleh dianggap syahid.

"Seseorang yang membunuh orang lain tidak akan mati syahid melainkan mereka berperang di atas nama agama. Ketiga-tiganya bukan berperang kerana agama," seorang ulama Umar Shihab dipetik sebagai berkata oleh laman web berita Detikcom.

Ketika penyokong-penyokong pengebom Bali itu membantah kematian mereka, penduduk-penduduk lain dalam diam bersetuju bahawa jihad mereka itu tidak bertepatan.

"Jika perang berlaku kita perlu berjihad demi agama tetapi jangan lakukannya di Indonesia. Bali bukan sebuah medan tempur," kata seorang jiran Imam Samudra, Robi, 30. - AFP

0 Comments:

blogger templates | Make Money Online