ORANG Umno Kelantan akan marah kalau dikatakan mereka tidak berubah dan tidak bijak dalam menentukan masa depan dan tidak bijaksana dalam mencaturkan politik mereka. Tentunya mereka akan marah kalau dikatakan mereka juga degil dan sudah melupai semangat setiakawan dan semangat Kelantanis yang menjadi kebanggaan selama ini.Sikap dan perangai orang Umno Kelantan dari dulu hingga sekarang tidak berubah. Kalau boleh dijadikan mentaranya ia bermula pada tahun 1987, ketika Tengku Razaleigh Hamzah berlawan dengan Mahathir Mohamad untuk merebut jawatan Presiden. Ketika ini sudah ada orang Kelantan yang lupa bau budu dan suka kepada belacan kering dari utara.Budaya cas genting, falsafah biar sama sa’ja masih berterusan sampai kini. Masih menebal dalam kepala orang Umno Kelantan dan seolah mereka berbangga dengan pegangan itu. Mereka juga sanggup bersikap meraikan tetamu luar dan membuang kawan sendiri.Beberapa konvensyen telah diadakan hampir setiap tahun yang turut membincang dan menilai sikap dan perwatakan ganjil politik Umno Kelantan. Namun perbincangan itu tidak membawa kesan. Perubahan sikap, pembawaan dan budaya marahkan nyamuk kelambu dibakar itu tidak terhakis malahan semakin mengarat dalam organisasi Umno.Entah di mana silapnya menyebabkan sikap dan budaya ini membelenggu diri mereka. Sikap biar sama sa'ja atau pun sama-sama putih mata menjadi pegangan yang dibanggakan pula.Kerana sikap inilah menyebabkan Umno Kelantan sering kali tewas dalam pilihan raya dan mereka juga tidak mengutip apa-apa peluang pada setiap kali proses pemilihan pemimpin yang berlaku dalam parti itu.Sikap ini sebenarnya merugikan bukan saja orang Umno bahkan orang Kelantan lain yang ingin menumpang tuah juga. Jsuteru sikap ini juga bagi perkiraan saya menyebabkan Pas semakin mendapat perhatian dan menjadi harapan kepada lebih 1.6 juta rakyat Kelantan!Paling nyata dan dapat dilihat bagaimana orang Umno Kelantan kental dengan sikap dan budaya ini apabila berlaku pemilihan pemimpin parti atau calon pilihan raya. Mereka akan menjadi musuh kepada puak sendiri dan menjadi baik dengan orang luar termasuk seteru. Mereka sanggup meninggalkan anak beranak dan berkawan dengan orang lain yang tidak pernah mengelus mereka sebelum ini.Apakah kerana mengejar wang, duit atau pitis maka terjadi demikian? Atau kerana mereka terlalu terbawa-bawa dengan sikap menyanjungi tetamu daripada anak sendiri?Kalau begitu betapa lapar dan pelahapnya orang Umno Kelantan. Mereka seolah tidak genap dengan pitis dan cukup dengan duit! Sepatutnya budaya dan perangai gilakan material ini tidak ada kepada orang Umno Kelantan. Kerana orang Kelantan sudah lama terkenal dengan sikap dan budaya bedikari, rajin dan kasih mengasihi sesama sendiri serta tidak mudah pelahap dengan tawaran kebendaan.Namun berlainan dalam Umno. Keunikan ini seolah tidak wujud dan dipraktikkan. Mereka menjadi mudah cair, lembek dan manja kepada orang lain dan sanggup membelakangkan puak sendiri. Bila nampak orang luar datang dengan duit sanggup tinggalahkan gu.. (kawan).Sudah menjadi lagenda bagaimana bekas seorang orang Umno pernah mencaci cerca Tok Guru dan Tok Lebai kerana diupah dengan hanya sebiji beras dan segelas air saja. Orang itu sanggup menghina dan memperlekehkan Tok Guru sebagai biawak! Betapa rendah dan hapraknya politik sebegini. Inilah, budaya inilah nampaknya yang berlaku dalam gelanggang politik Umno Kelantan. Mereka akan jadi berpinar mata kerana duit dan ringgit manakala nila perjuangan untuk agama, bangsa dan negeri sudah tidak ada lagi.Budaya dan perangai itu masih berlaku dan terus berlaku hinggalah ke hari ini. Dalam Umno mengadakan pemilihan pemimpin tertinggi hari ini, ia tetap juga berlaku. Orang Umno Kelantan tidak peduli kepada ‘gu’ dan darah dagingnya sendiri. Mereka menganggap ‘gu’ sendiri seperti orang lain suku sakat yang tidak pernah berbudi dan berjasa kepada mereka.Apa yang berlaku dan menimpa kepada calon tunggal Presiden, Tengku Razaleigh Hamzah adalah bukti paling nyata dan sahih mengenai kecilnya jiwa dan semangat orang Umno Kelantan. Tentang betapa orang Kelantan sanggup meninggalkan ‘gu’ dan darah daging kerana terpesona dengan janji kebendaan dan rasuah wang ringgit.Apa, kenapa dan mengapa ini berlaku? Kalau hendak dikira tidak ada alasan dan sebab untuk Umno Kelantan menolak Tengku Razaleigh Hamzah. Ketokohan, pengalaman, jasa dan bakti beliau kepada Umno tidak terlawan oleh sesiapa pun di Kelantan. Manfaat yang bakal diperolehi juga jika beliau menjadi pemimpin besar tidak boleh dinafikan. Tetapi ini semacam tidak terkelih oleh orang Umno Kelantan. Anih.Malu! Sebagai orang Kelantan kita merasa malu dengan apa yang berlaku. Umno Kelantan sudah tidak ada sikap jati diri dan semangat Kelantanis lagi. Ketinggian budi, reti menghormati orang tua, ataupun menjaga saudara sendiri sudah tidak ada lagi dalam kloni Umno. Kelantan yang dikatakan unit dengan jiwa perkaumannya, unit dengan persahabatan sehidup semati dan setiakawannya sudah tidak ada lagi dalam Umno. Kerana itulah Umno Kelantan mudah diperkotak katikan.Apakah Umno sengaja mahu merubah sikap dan budaya unit itu? Kalau begitu jelas Umno membawa kemusnahan daripada kebaikan kepada rakyat dan negeri Kelantan. Umno cuba merombak satu institusi sosial yang dikagumi ramai selama ini.Masalah ini tidak boleh disalahkan kepada anggota atau ahli bawahan. Tetapi ia berpunca dari pemimpin peringkat Perhubungan. Mengenai penolakan Tengku Razaleiigh yang menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno, Pengerusi Umno Kelantan, Annuar Musa (foto) awal-awal lagi membuat endorsement agar jangan memilih Tengku Razaleigh. Annuar Musa sudah mengelak ahli Umno agar masuk dalam 'gok' bebalnya agar memberi sokongan kepada Mohd Najib Razak dari Pahang.Tidak menjadi kesalahan kalau orang Umno Kelantan tidak mahu menyokong Tengku Razaleigh yang dirasakan boleh membantu Kelantan dan membawa perubahan. Tetapi janganlah sampai membuat kenyataan begitu dan serahlah kepada penilaian dan hati budi perwakilan bahagian secara terbuka.Sebenarnya tidak siapa pun untung dengan sikap membelakangkan anak beranak sendiri dan terpesona dengan orang luar. Annuar Musa sendiri sudah menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden kerana tidak percaya akan mendapat cukup pencalonan. Tindakan Annuar itu sedikit sebanyak menyesalkan orang Kelantan kerana tindakan itu memalukan orang Kelantan. Ini menunjukkan betapa haprak dan kohongnya Umno Kelantan.Saya percaya kalau Annuar berpakat menyokong Tengku Razaleigh dan tidak bersikap menyepak kawan sendiri, beliau (Annuar) juga akan mendapat manfaatnya. Tetapi kerana beliau sebagai ketua turut mengamalkan budaya itu maka beliau juga sudah terkena sumpahan budaya dan amalan itu. Yang ruginya siapa, diri sendirilah jawabnya.Apapun diucapan syabas dan tahniah kepada Tengku Razaleigh atas keberanian dan komitmen beliau untuk menawar diri ke jawatan nombor satu itu. Walaupun sejak awal lagi beliau tahu tidak mungkin mudah mendapat sokongan namun beliau tetap menawarkan diri dengan harapan untuk berkhidmat kepada negara dan khasnya negerinya sendiri.Tentunya beliau mulanya mengharap sokongan moral daripada negerinya sendiri. Tetapi malang dan sedih orang Umno Kelantan kini tidak lagi melihat kepada budi dan jasa tetapi melihat kepada benda lain, pitis dan pangkat sedangkan Tengku Razaleigh tidak tergamak untuk menjual maruahnya dengan wang ringgit meskipun beliau mampu melakukannya.Khabarnya di bahagian Bachok hanya dua cawangan saja yang inginkan kepada Tengku Razaleigh. Dan bila diadakan pengundian hanya lapan saja undi untuk Tengku Razaleigh. Ini memalu dan menyedihkan! Orang Bachok merasakan Najib pemimpin mereka, Najin waris mereka dan bukan Tengku Razaleigh Hamzah.Keadaan ini berlaku tidak boleh disalahkan kepada ahli peringkat cawangan. Semua mereka sudah dijerut, dipukat dan dijalakan setelah diumpah seringgit dua. Ada perwakilan terang-terangan menyebut mereka tidak mahu kepada Tengku Razaleigh tetapi mahukan kepada ‘Tuanku Abdul Rahman’, iaitu Yang di-Pertuang Agong pertama yang gambarnya tertera pada wang kertas. Maknanya nak wanglah...tu.Biarlah yang sudah membuat keputusan itu diharap senang dan berbahagia dengan keputusan mereka. Tetapi kepada bahagian lain yang belum bersidang buatlah pertimbangan sewajarnya dengan menggunakan akal dan tahu menilai budi dan jasa.Fikirlah sedalam mungkin dan jagalah maruah sebagai orang Kelantan yang setiawan dan rela rebah dan tersungkur bersama. Lagipun Najib sudah pun mendapat pencalonan lebih dari mencukupi. Apa salah kalau bahagian yang akan bersidang minggu depan memberi pencalonan kepada Tengku Razalegih, kalau pun bukan untuk menobatkan anak Raja itu sebagai Presiden tetapi sekurang-kurang untuk menjaga maruah orang Kelantan seluruhnya. Apakah untuk berbuat demikian juga takut!Selain daripada memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh berilah juga sokongan kepada tiga calon Majlis Tertinggi. Sesudah Annuar Musa menarik diri, Umno Kelantan hanya ada tiga nama saja untuk diangkat menjadi MT, Mustapa Mohamad, Md Alwi Che Amat dan Awang Adek Hussein.
10/21/08
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment